KAMPAR: Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak dan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kampar di sini hari ini.
Abdul Aziz, 82, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Ara Damansara, Selangor pada 17 Oktober lalu dipilih bagi mengenang jasanya kepada masyarakat setempat.
Anak lelaki Abdul Aziz, Datuk Seri Mohd. Nasrizal Abdul Aziz yang mewakili keluarganya menerima anugerah tersebut mengucapkan terima kasih kepada penduduk daerah Kampar yang memberikan anugerah untuk bapanya.
Menurutnya, beliau dan seluruh ahli keluarganya bersyukur di atas anugerah tersebut yang merupakan satu pengiktirafan untuk bapanya.
“Ayah saya memang berasal dari Kampar, anak jati Gopeng. Kami sekeluarga sangat berterima kasih dan berbesar hati menerima anugerah ini.
“Segala kebaikan masyarakat Kampar yang memberikan pengiktirafan ini tak dapat kami membalasnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Anugerah sijil penghargaan disampaikan oleh Orang Besar Jajahan (OBJ) Daerah Kampar, Datuk Abdul Talib Fahmi.
Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Mohd. Nasrizal, anak kedua daripada empat beradik yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, bapanya seorang yang mementingkan pendidikan bagi memartabat bangsa Melayu.
“Ketika menyertai kerajaan, beliau dapat melaksanakan niatnya. Semasa menjadi timbalan menteri pendidikan dan Presiden Persatuan Guru-Guru SeMalaysia, beliau telah menaik taraf gaji guru agama sama dengan guru akademik.
“Semasa menjadi Pegawai Khas kepada Tun Dr. Mahathir, beliau diminta mencari jalan untuk menambah universiti awam.
“Akhirnya beliau berjaya menambah universiti awam daripada tiga kepada 14 buah demi memastikan anak bangsa mendapat pendidikan yang baik,” katanya.- UTUSAN ONLINE