Alat pemadam api dipercayai diubah suai sebelum meletup - Utusan Malaysia

Alat pemadam api dipercayai diubah suai sebelum meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah tidak menolak kemungkinan alat pemadam api kereta yang meletup sehingga mengakibatkan kematian seorang peniaga warung dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya di sini kelmarin telah diubah suai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Yusri Omar, 43, ditemui berlumuran darah akibat kecederaan pada kaki, paha dan lengan kiri.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 20 minit selepas menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mengenal pasti punca sebenar letupan tersebut.

“Siasatan pasukan forensik bomba lebih menjurus kepada kemungkinan alat pemadam api berkenaan telah diusik atau cuba diubah suai,” katanya yang ditemui ketika melawat lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, alat pemadam api direka sebagai alat yang selamat untuk disimpan di dalam kereta serta tidak mudah meletup dengan suhu panas biasa di negara ini.

“Kita juga difahamkan ketika kejadian, kawasan di sini hujan, jadi suhu panas terlampau bukan menjadi penyebab alat pemadam api itu meletup,” jelasnya.

Tambahnya, bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan pihaknya belum dapat mengesahkan punca sebenar letupan tersebut.

Sementara itu, isteri mangsa, Rosnaida Mat Ali, 38, berkata, dia tidak tahu sejak bila alat pemadam api berada di situ kerana jarang masuk ke kawasan garaj tempat suaminya membaiki barangan terpakai.

“Arwah ambil upah membaiki barangan terpakai selain berniaga nasi lemak pada waktu pagi bersama saya,” katanya.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak yang berusia antara tiga hingga 17 tahun.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya