Akta Anti Berita Tidak Benar tidak dikembalikan - Utusan Malaysia

Akta Anti Berita Tidak Benar tidak dikembalikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) nampaknya tidak bercadang untuk mengembalikan semula Akta Anti Berita Tidak Benar yang telah dimansuhkan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, kerajaan masih mengenal pasti pendekatan yang paling ampuh dan mapan untuk mengekang perkara itu bagi memastikan rakyat mendapat berita dan laporan yang sah dan terkini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, buat masa ini sebarang berita palsu, laporan palsu dan penyalahgunaan media sosial akan didakwa melalui undang-undang sedia ada.

“Ditangani melalui undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kementerian menyarankan seluruh rakyat untuk bertindak menangani penyebaran berita palsu yang boleh menyebabkan keadaan gusar dan mengancam ketenteraman awam,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkenaan mekanisme dalam membendung masalah penyebaran berita palsu terutama berkaitan Covid-19.

Jawapannya dibacakan  oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr. Mah Hang Soon berikutan Saifuddin tidak dibenar memasuki dewan kerana menjalani ujian calitan beberapa hari awal daripada jadual yang ditetapkan Parlimen. 

Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa keputusan ujian Saifuddin adalah negatif manakala Timbalan Menteri, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula tidak hadir kerana mempunyai temu janji berjadual dengan doktor.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah, kementerian melalui agensi-agensinya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah memberi maklumat tepat dan tulen mengenai dasar-dasar kerajaan secara berterusan melalui platform masing-masing. 

Jelasnya, kerajaan juga melaksanakan Program Info On Wheels (IOW), kempen melalui publisiti bercetak dan elektronik termasuk melalui paparan elektronik (skrin digital) dan pengedaran risalah mengenai Covid-19 dalam usaha menangkis penyebaran berita palsu.

“Lebih satu juta risalah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban dan Kadazan telah disediakan berkaitan Covid-19,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya