JOHOR BAHRU: Isteri kepada penghidap kanser hati tahap empat yang terkandas di Singapura sejak Mac lalu dijangka akan pulang untuk menjaga suaminya pada minggu depan.
Menurut Meharan Mohd. Atan, 61, dia kini sedang melakukan urusan permohonan untuk pulang ke Johor Bahru bagi menjaga suaminya, Hamid Salleh, 63, yang kini terlantar sakit seorang diri tanpa perhatian keluarga.
“Tak pasti bila, tapi saya tengah menguruskan urusan permohonan untuk balik ke Johor Bahru. Paling awal mungkin Selasa ini.
“Saya mendoakan agar urusan ini berjalan lancar, Insya Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Utusan Malaysia pernah melaporkan kisah yang menimpa Hamid terlantar sakit kerana menghidap kanser hati tahap empat manakala isterinya pula terkandas di Singapura sejak Mac lalu kerana penutupan pintu sempadan ekoran pandemik Covid-19.
Maheran dan empat anak lain yang tidak dapat pulang menjaga suami dan bapa mereka disebabkan masalah pintu sempadan yang ditutup untuk keluar masuk antara dua negara.
Buat masa kini, dia dijaga buat sementara oleh rakan baik, Mohd. Yusof Othman, 54, bersama isterinya, Siti Hazar Abd. Jabar, 53.
Dalam pada itu, Maheran memaklumkan, dia akan pulang ke negara ini tanpa anak-anak kerana masing-masing mempunyai komitmen kerja.
“Apa-apa pun saya bersyukur kerana akhirnya dapat pulang untuk jaga suami,” katanya.
Difahamkan sejak kisah disiarkan, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kepada Hamid termasuk beberapa pemimpin kerajaan yang mahu membantu menguruskan permohonan Maheran untuk pulang ke menziarahi suaminya.-UTUSAN ONLINE