KLANG: Permulaan Monsun Timur Laut bulan ini dikhuatiri menyebabkan fenomena air pasang besar meningkatkan aras air laut lebih tinggi disebabkan taburan hujan yang luar biasa.
Menurut Ketua Zon Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Klang, Hussin Ab. Rahman, hujan dan tiupan angin monsun menyebabkan air pasang naik lebih tinggi daripada aras biasa iaitu kira-kira 5.6 hingga 5.8 meter.
“Angin Monsun Timur Laut November hingga Mac tahun hadapan dan taburan hujan bulan ini dijangka mencecah 250-370 milimeter (mm) seperti yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi. Oleh demikian, air pasang besar menyebabkan aras air laut naik 5.6 meter dan limpahan air ke darat adalah sedalam 0.3 meter.
“Kita mempunyai 300 anggota di seluruh JBPM Zon Klang dan bersedia sekiranya berlaku kecemasan seperti banjir atau ban pecah. Kita juga telah memaklumkan kepada penduduk supaya bersedia untuk berpindah jika perkara tersebut berlaku.
“Mereka yang boleh berpindah awal kita sarankan untuk segera berbuat demikian supaya segala proses memberi bantuan lebih lancar,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan air pasang besar bersama anggota JBPM Pelabuhan Klang di Jeti Pulau Ketam hari ini.
Sementara itu menurut Penyelaras Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Miskon Karim, di Pantai Morib, Pantai Baru Morib Pantai Kelanang, Pantai Batu Laut dan Jeti Tanjung Sepat di Kuala Langat aras air laut naik 5.5 meter.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan berlaku sedikit limpahan di kawasan tapak perkhemahan, tapak parkir, laluan masuk dan jalan raya di Pantai Kelanang.
“Berlaku kerosakan ban di pesisiran Pantai Kelanang akibat dipukul ombak, manakala Pantai Morib dan Pantai Batu Laut tiada berlaku limpahan dan hakisan.
“Air melimpah di kawasan perumahan Taman Harmoni dan jalan raya Istana Bahagia Kanchong Laut, namun tiada rumah penduduk dinaiki air,”katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri telah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi susulan daripada fenomena air laut pasang besar yang dijangka berlaku dua hari bermula hari ini.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPNB) menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan, persediaan bencana itu melibatkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Katanya lagi, fenomena air laut pasang besar itu diramalkan akan berlaku bermula dua hari sehingga esok ini di pesisiran pantai negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter. – UTUSAN