Agong ucap takziah kepada keluarga perintis MAS - Utusan Malaysia

Agong ucap takziah kepada keluarga perintis MAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh keluarga perintis penerbangan awam negara, Kapten Datuk Khairi Mohamad yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Khamis lalu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada negara. Al-Sultan Abdullah menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan dunia penerbangan tempatan.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Allahyarham Khairi  merupakan juruterbang Melayu kedua, selepas Allahyarham Kapten Hassan Ahmad, yang telah berkhidmat bersama syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS). 

Beliau  menyertai MSA pada tahun 1962 sebagai juruterbang bersama atau pegawai pertama, dua tahun selepas memperolehi Commercial Pilot’s Licence (CPL).

Pada tahun 1968, Allahyarham dinaikkan pangkat sebagai Kapten setelah memperolehi Airline Transport Pilot’s Licence (ATPL). 

Jawatan akhir Allahyarham bersama MAS ialah Pengarah Operasi Penerbangan.

Allahyarham juga mengukir sejarah apabila bersama-sama Ketua Jurutera Penerbangan MAS, K. Ragunathan dan Kapten Roland Thomas membawa pulang kapal terbang pertama MAS, McDonnell Douglas DC-10-30, dari Carlifornia, Amerika Syarikat (AS) ke Kuala Lumpur melalui Hawaii. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN