Agong perkenan isytihar darurat Batu Sapi - Utusan Malaysia

Agong perkenan isytihar darurat Batu Sapi

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati berkenaan cadangan tersebut.

Dengan pengisytiharan itu, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 yang diadakan 26 September lalu.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka berpendapat amatlah wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara. Perkenan Seri Paduka ini setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19,” jelas Ahmad Fadil dalam satu kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN