KLUANG : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali meminta pihak berkuasa memberikan pengecualian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada mana-mana wakil rakyat untuk bergerak mengagihkan sumbangan kepada rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Sheikh Umar, setiap ADUN atau ahli Parlimen wajar diberikan SOP khusus berhubung soal pergerakan dalam kawasan yang diwakili mereka ketika menjalankan tugas kepada rakyat.
“Saya fikir ada beberapa perkara perlu diberikan penerangan lebih jelas termasuklah beberapa pengecualian bersabit pergerakan Wakil Rakyat di kawasan. Asalkan SOP ini terkawal dan selamat.
“Saya harap hal ini boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Sheikh Umar memaklumkan beliau semalam ditahan polis dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Paloh-Kluang kerana menaiki kenderaan bersama tiga penumpang termasuk dirinya bersama pembantu dan petugas sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh.
“Pegawai polis telah menyatakan kesalahan saya kerana menaiki kereta seramai tiga orang iaitu saya sendiri, pembantu saya dan seorang lagi merupakan petugas sukarelawan,
“Petugas sukarelawan itu telah saya ajak bersama untuk bantu memunggah barang-barang sumbangan yang nak diagihkan kepada masyarakat India bagi bantuan Deepavali,” katanya.
Bagaimanapun mereka dilepaskan selepas Sheikh Umar memberikan penjelasan kepada anggota polis terlibat.
Berdasarkan SOP PKPB oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hanya dua orang daripada setiap isi rumah dibenarkan keluar bagi mendapatkan bekalan keperluan atau makan di restoran dan mana-mana didapati yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.-UTUSAN ONLINE