Aduan pemilik asal bongkar peniaga pakaian tiruan online - Utusan Malaysia

Aduan pemilik asal bongkar peniaga pakaian tiruan online

PENGUATKUASA KPDNHEP menyerbu premis kediaman yang menyimpan pakaian berjenama tiruan untuk dijual secara dalam talian, di Taman Cheras Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Taktik seorang peniaga pakaian berjenama tiruan terbongkar apabila wakil pemilik cap dagang berkaitan membeli barangan tersebut melalui transaksi dalam talian.

Pembeli itu malahan berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran suspek selepas menerima pesanan dikirimkan yang tertera alamat penjual berkenaan pada bungkusan barangan dibeli.

Kes itu didedahkan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Menurutnya, modus operandi peniaga itu ialah dengan mengiklankan pakaian berjenama tiruan pada harga lebih murah daripada pasaran bagi menarik perhatian.

“Daripada urus niaga itu, pengadu telah membuat perbandingan dengan pakaian asli dan setelah mengenal pasti barang dibeli adalah tiruan, dia kemudian membuat aduan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Satu operasi dijalankan di sebuah rumah di Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan melibatkan tujuh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Ibu Pejabat Putrajaya baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan bersama-sama wakil pemilik cap dagang telah menemui pelbagai jenis baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan disimpan di kediaman itu.

“Kesemua barangan tersebut kemudian dirampas dan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku pemilik premis itu telah diambil keterangan,” jelas Iskandar Halim.

Beliau dalam kenyataan itu menambah, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM67,750 dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Jika disabitkan kesalahan, organisasi terbabit boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.

“Individu atau syarikat diberi amaran agar lebih bertanggungjawab serta menghormati hak intelek kerana tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” tegasnya.

Orang ramai yang ada maklumat turut disaran melaporkan melalui hotline 1-800-886-800, whatsapp (019-2794317) atau telefon 03-8882 6088 atau pejabat KPDNHEP berhampiran.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN