Abang bakar rumah ditumpangi adik ipar - Utusan Malaysia

Abang bakar rumah ditumpangi adik ipar

Keadaan motosikal yang musnah di sebuah rumah di Taman Sentosa yang cuba dibakar oleh tiga suspek, Ahad lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hanya kerana tidak puas hati adik perempuannya akan diceraikan, seorang lelaki mengambil keputusan membakar rumah rakan sekerja ditumpangi adik iparnya di Taman Sentosa Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, tiga buah motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi musnah dalam kebakaran tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan unit peronda polis (MPV)  telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 5.24 pagi.

Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada masalah rumah tangga adik perempuan suspek dan suaminya yang dalam proses penceraian.

“Suspek juga dikatakan tidak mahu lagi melihat mangsa terus berada di daerah ini selain menumpang di rumah rakan sekerjanya.

“Mangsa dikatakan telah menumpang di rumah rakan sekerjanya itu kira-kira enam bulan lalu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, susulan kejadian tersebut pihaknya menahan dua suspek termasuk abang ipar mangsa di kawasan berhampiran pada Isnin lalu di antara pukul 12 tengah hari dan 4 petang.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil soal siasat juga mendapati mereka mengaku melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi rakan suspek dikenali A. Theyagarajan, 31, atau ‘Radio’ yang kini masih lagi dalam buruan polis,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek itu kini di reman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api._UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN