DUNGUN: Kerajaan negeri mengagihkan barangan keperluan makanan kepada 932 keluarga di Mukim Rasau yang dikuarantin di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan termasuk makanan kering dan basah seperti gula, beras, tepung gandum serta ayam itu diagihkan setiap empat hari kepada penduduk.
“Bantuan diberikan kepada individu yang dikuarantin di rumah manakala bagi penduduk yang tidak dikuarantin, mereka masih boleh keluar membeli barangan di kedai-kedai,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengumpulan bantuan makanan di Dewan Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya 2 di sini hari ini.
Mukim Rasau menjadi mukim pertama di Terengganu dikenakan PKPB bermula semalam selepas kes positif Covid-19 di mukim tersebut mencatatkan peningkatan sejak beberapa minggu lalu.
Hanafiah berkata, daripada keseluruhan lebih 17,000 penduduk di Mukim Rasau, lebih 3,000 telah menjalani saringan Covid-19.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan barangan keperluan asas di negeri ini mencukupi sepanjang PKPB yang akan bermula esok.
“Orang ramai tidak perlu panik dengan pelaksanaan PKPB kerana barangan keperluan dijamin mencukupi,” katanya. -UTUSAN ONLINE