9 pelajar terlibat judi dalam talian ditahan - Utusan Malaysia

9 pelajar terlibat judi dalam talian ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sembilan pelajar merupakan antara 22 remaja bawah umur yang ditahan dalam Ops Dadu Khas kerana terlibat dengan aktiviti permainan judi dalam talian di daerah Kuala Muda di sini dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.  

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lima pelajar berkenaan ditahan pada 26 Oktober lalu kerana menjadi penjual tambah nilai pra bayar permainan judi dalam talian.

“Pelajar terbabit ditahan di tiga premis di Taman Ria Jaya di sini ketika menunggu pelanggan.

“Polis turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama untuk urusan menjual tambah nilai pra bayar permainan judi dalam talian dan wang tunai berjumlah RM418 dipercayai hasil transaksi berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan pelajar sanggup mengumpul wang saku dan berlapar di sekolah semata-mata untuk menambah nilai pra bayar bagi membolehkan mengaplikasi permainan judi dalam talian.

Beliau memberitahu, sebelum ini polis telah menahan empat pelajar yang disyaki terlibat dalam permainan judi tersebut.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 56 serbuan telah dijalankan terhadap premis yang menjual tambah nilai pra bayar permainan judi dalam talian dan 72 tangkapan dilakukan sepanjang tempoh Ops Dadu Khas itu.

“Sebanyak 17 premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian juga diambil tindakan memotong bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, kes yang melibatkan perjudian tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN