KUALA KANGSAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan menambah sembilan lagi peti keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) di beberapa lokasi perkelahan melibatkan pantai dan air terjun di negeri ini.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, pemasangan peti keselamatan mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, beg tali dan siren itu dijadualkan selesai pada penghujung tahun ini.
Katanya, lokasi yang terlibat ialah Pantai Teluk Nipah, Teluk Senangin, Air Terjun Lata Kinjang, Air Terjun Kuala Mu, Air Terjun Burmese, Air Terjun Lubuk Degong, Tasik Cermin, Tasik Banding dan Dataran Kuala Kangsar Sungai Perak.
“Berdasarkan statistik, kadar kematian di air adalah tinggi berbanding kebakaran di mana Perak merekodkan 23 kematian bagi aktiviti di air pada tahun ini berbanding kebakaran sebanyak 18 kes maut.
“Rekod yang tinggi juga dicatatkan tahun lalu dengan 24 kematian bagi aktiviti di air manakala 11 kes kematian melibatkan kejadian kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air, Pemasangan Papan Tanda Keselamatan dan LiSA di Taman Tema Eko-Rimba Ulu Kenas di sini hari ini.
Menurut Azmi, pemasangan LiSA di 11 kawasan panas yang dikenal pasti itu juga sebagai persediaan awal dalam menghadapi kecemasan sekali gus meminimakan kadar kemalangan melibatkan aktiviti di air.
“Sebelum ini pemasangan LiSA telah pun dilakukan di Pantai Teluk Batik dan hari ini di kawasan perkelahan Ulu Kenas.
“Selain pemasangan, anggota juga akan memberi penerangan berhubung keselamatan di air dan kaedah penyelamatan kepada pihak terlibat termasuk pegawai Jabatan Perhutanan dan pengunjung,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan JBPM dalam menghadapi musim banjir, Azmi berkata, seramai lebih 2,500 anggota bersama pasukan bomba sukarela (PBS) dalam keadaan bersiap siaga.
“Bukan setakat banjir, bomba turut memberi fokus kepada kejadian runtuhan dan kemalangan di musim tengkujuh ini.
“Kesemua peralatan, logistik dan utiliti berfungsi dengan baik. Anggota juga diingatkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan operasi menyelamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE