8,000 Orang Asli bantah pembalakan - Utusan Malaysia

8,000 Orang Asli bantah pembalakan

SEBAHAGIAN daripada masyarakat Orang Asli etnik Jahut mengadakan demonstrasi aman bagi membantah aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Krau, di Temerloh, Pahang semalam. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seramai 8,000 penduduk masyarakat Orang Asli etnik Jahut daripada sembilan kampung membantah kegiatan pembalakan di kawasan seluas kira-kira 60 hektar di Hutan Simpan Kekal Krau dekat sini sejak sebulan lalu.

Kebimbangan penduduk di situ berasaskan pelbagai faktor seperti perubahan iklim, merosakkan tadahan air, kehilangan hak mengekal dan memulihara tadahan air, hilang sumber perubatan tradisional, hilang sumber aktiviti berburu dan hasil hutan. 

Antara kampung terlibat, Kampung Orang Asli Sungai Moi; Kampung Paya Mendol; Kampung Pasu; Kampung Lubuk Wong; Kampung Pian; Kampung Paya Pelong dan Kampung Kuala Terbol yang mana kesemua masyarakat di situ menjadikan hutan sebagai sumber kehidupan harian mereka. 

Naib Presiden Jaringan Orang Asal Semenanjung Malaysia, Yusri Ahon ,57, berkata, aktiviti pembalakan menjejaskan kualiti harian masyarakat Orang Asli di sembilan kampung terlibat. 

“Rata-rata masyarakat Orang Asli terkejut apabila wujud aktiviti pembalakan di kawasan dianggap periuk nasi mereka sejak ratusan tahun. 

“Selain menjejaskan kualiti harian masyarakat Orang Asli, kegiatan pembalakan di situ turut akan merosakkan kubur dan dusun di Kampung Luak dan Kampung Sungai Kijal,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembalakan oleh Pegawai Perhutanan Temerloh, Azmi Abdul Rahman di Kampung Paya Luas di sini hari ini.

Yusri berkata, masyarakat Orang Asli di situ membuat keputusan sebulat suara membantah sekeras-kerasnya kelulusan lesen dan kerja-kerja pembalakan di Hutan Simpan Kekal Krau.

Menurutnya, penduduk telah menandatangani surat bantahan dan menghantar memorandum kepada syarikat yang beralamat di Tangkak, Johor tersebut. 

“Kami mahu syarikat pemaju dan pihak berkuasa menghormati keputusan penduduk demi mengekalkan semua sumber dan ekosistem yang ada di Hutan Simpan Krau demi kelangsungan hidup serta adat dan budaya etnik Jahut.

“Kami akan berjumpa dan mengemukakan rayuan dalam tempoh dua minggu ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kemungkinan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pembalakan di kawasan ini,” katanya. 

Ketua Kampung Pasu, Rizal Latif berkata, Hutan Simpan Kekal Krau adalah sumber ekonomi penduduk dan dianggap sebagai ‘pasar raya’ bagi masyarakat Orang Asli di situ.

“Kami kecewa kerakusan pihak tertentu mengaut keuntungan mudah dengan mengorbankan hutan simpan di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN