SEREMBAN: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di daerah Seremban bermula 5 November sehingga 18 November 2020 akan melibatkan kira-kira 625,200 penduduk dan kawasan seluas 951.89 kilometer persegi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penguatkuasaan PKPB itu membabitkan seluruh daerah Seremban yang melibatkan lapan buah mukim iaitu Ampangan, Labu, Lenggeng, Rantau, Pantai, Lenggeng, Seremban dan Setul.
“Negeri Sembilan telah melaksanakan PKPB Zon Nilai dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai bermula 28 Oktober 2020, namun, pola peningkatan kes khususnya di daerah Seremban dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban.
“Ini menjadi justifikasi utama kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPB seluruh daerah Seremban bagi mengekang dan mengawal pergerakan orang ramai serta mengelakkan penularan terus meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan PKPB di daerah Seremban dilaksanakan berkuat kuasa 5 November sehingga 18 November 2020.
Sementara itu, jelas Aminuddin, dengan penguatkuasaan PKPB Seremban, PKPB di Zon Nilai sebelum ini adalah sendirinya terbatal.
“Ini memandangkan Zon Nilai adalah merupakan sebahagian daripada daerah Seremban iaitu di bawah mukim Setul dan Labu namun PKPD di Putra Point Nilai dikekalkan,” katanya.
Tambahnya, susulan pelaksanaan PKPB tersebut semua premis sosial dan pendidikan termasuk institut pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah-sekolah, tadika, pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan PKPB hendaklah ditutup.
Sehubungan itu, katanya, kesemua sekolah di daerah Seremban yang ditutup sehingga 9 November depan seperti diarahkan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini juga dilanjutkan.
“Pelajar yang bersekolah atau belajar di institut pengajian tinggi awam dan swasta di luar kawasan PKPB tidak dibenarkan keluar atau masuk.
“Majlis rasmi atau tidak rasmi sama ada oleh kerajaan atau swasta, majlis sosial seperti kenduri, majlis pertunangan, perkahwinan, sambutan ulang tahun juga adalah tidak dibenarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE