6 pemburu haram diberkas polis - Utusan Malaysia

6 pemburu haram diberkas polis

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama Datuk Md. Yusof Ahmad (kanan) Ketua Jabatan Sisatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Johor serta Salman Saaban (kiri) Pengarah Perlilitan Johor menunjukan senapang yang di rampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru di sini hari ini.-UTUSAN/ Baazlan Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Enam pemburu haram diberkas polis dalam Ops Khazanah Bersepadu melibatkan empat serbuan di tiga daerah dari 21 Oktober hingga malam tadi. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Perhilitan negeri berjaya menahan kesemua enam suspek berusia lingkungan 22 hingga 57 tahun di Kluang, Pontian dan Kulai.  

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 10 laras senjata api buatan sendiri, 110 peluru hidup, seunit gergaji elektrik, sebuah mesin pengisar, seunit alat penimbang, dan pelbagai peralatan lain yang  digunakan untuk memburu.

“Kebanyakan kegiatan memburu secara haram ini adalah kerana hobi suka memburu selain menjual haiwan ini ke restoran yang menjual daging eksotik.

“Antara binatang liar yang mendapat permintaan tinggi daripada restoran menghidang haiwan eksotik itu ialah harimau yang boleh mencecah harga RM200,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Perhilitan negeri, Salman Saaban. 

Ayob Khan berkata semasa serbuan dibuat, polis turut menemukan bangkai haiwan hidupan liar dipercayai hasil buruan serta daging kijang di dalam periuk dan kuku haiwan yang dipercayai kuku harimau. 

Katanya, dalam serbuan yang sama, polis turut merampas beberapa ekor haiwan di dalam sangkar dipercayai hasil buruan antaranya musang pandan, burung bayan dan kera serta sebuah trofi kepala kijang.

Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 akta yang sama.

Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 69 akta yang sama.

“Dalam konteks ini, polis Johor telah mengambil pendekatan baharu dengan membuat semakan semula kepada semua pemilik senjata api. Sehingga kini, seramai 823 orang pemegang lesen senjata api yang mempunyai syarat memburu telah dibatalkan. 

“Pihak Jabatan Perhilitan Johor juga tidak lagi mengeluarkan sebarang permit memburu kepada mana-mana pihak sejak 28 Januari lalu,” katanya. 

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, seramai lapan orang pemegang lesen senjata api dan sebuah syarikat kawalan keselamatan telah dicadangkan pembatalan lesen senjata api.

“Semalam, saya turut mencadangkan pembatalan lesen kepada seorang individu yang mempunyai dua pistol ke peringkat Bukit Aman. 

“Bagi semua pemegang senjata api berlesen, polis memberi amaran tegas until membuat semakan ke atas penggunaan senjata api bagi memastikan tiada pelanggaran syarat ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN