6 pelajar kes buli SBP direman empat hari - Utusan Malaysia

6 pelajar kes buli SBP direman empat hari

LIMA pelajar (berbaju oren) sebuah sekolah berasrama penuh di sini yang dipercayai membuli junior mereka direman selama empat hari sehingga Rabu ini.-UTUSAN/ MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG : Enam pelajar sekolah menengah berasrama penuh di sini yang dipercayai membuli rakan junior mereka direman selama empat hari hingga Rabu ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan terhadap semua suspek yang berusia 16 tahun oleh Penolong Pendaftar Nor Aziela Sidek.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mereka tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kluang pada pukul 9 pagi dengan menaiki lori polis.

Keenam-enam kelihatan sugul selepas mahkamah menetapkan perintah tahanan reman terhadap mereka.

Semalam, tular dalam media sosial berhubung kenyataan ahli keluarga mangsa yang mendesak pihak pentadbiran dan polis menyiasat kejadian buli berkenaan.

Dipercayai ia tercetus akibat salah faham sekali gus menyebabkan lima pelajar tingkatan dua dibelasah pelajar senior dalam satu kejadian, hujung bulan lalu.

Dalam kejadian itu, salah seorang pelajar, Mohammad Farish Haiqal Mohd. Khalid, 14, mengalami kecederaan pada otot dada apabila paru-paru hampir bocor selepas dipukul sekumpulan pelajar senior di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pada Selasa lalu kira-kira jam 3 petang, pengadu seorang wanita membuat laporan polis menyatakan bahawa anak dan rakannya berusia 14 tahun telah dipukul oleh beberapa pelajar senior di sekolah berkenaan.

Hasil siasatan awal, pengadu mendapat tahu mengenai kejadian pukul itu selepas memeriksa mesej di telefon bimbit anaknya yang mengadu kepada rakannya bahawa mereka telah dipukul oleh pelajar senior. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN