PUTRAJAYA: Sebanyak enam aplikasi dalam talian pemberi pinjam wang disiasat Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan penyalahgunaan data peribadi.
Aplikasi itu ialah Asialend, Dreamlend, iPayfren, iPinjaman; Helplend4u dan GoCash4u.
Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi dalam kenyataan berkata, kesemua aplikasi itu didapati mengakses dan menyalin maklumat lain termasuk data peribadi yang tidak berkaitan dengan urusan pinjaman tanpa kebenaran peminjam.
Justeru, kertas siasatan dibuka bagi menyiasat pelanggaran di bawah seksyen 5 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
“Sekiranya disabitkan kesalahan, entiti berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“JPDP amat memandang serius mengenai perkara ini dan rakyat perlu berhati-hati apabila membuat sebarang pinjaman secara dalam talian terutamanya semasa memberikan persetujuan terhadap aplikasi yang dimuat turun bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mempunyai akses yang tidak sepatutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam hal itu, katanya, mana-mana peminjam yang data peribadinya disalah gunakan aplikasi berkenaan diminta menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JPDP melalui e-mel [email protected] atau Sistem Perlindungan Data Peribadi (daftar.pdp.gov.my) bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, katanya, semua peminjam dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengetahui status pendaftaran pemberi pinjam wang. – UTUSAN