54 anak anjing mati - Utusan Malaysia

54 anak anjing mati

Kawasan perlindungan anjing liar yang diuruskan Persatuan Haiwan Terbiar Furrykids Safe Haven di Kampung Mawar, Mambau dekat sini terjejas akibat banjir kilat yang melanda sekitar kawasan Seremban, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIIZE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 54 ekor anjing mati akibat lemas dalam banjir yang menenggelamkan pusat perlindungan anjing liar yang diuruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Mawar, Mambau dekat sini semalam.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Furrykids Safe Haven, Surevin Nair berkata, banjir kilat tersebut menyebabkan kawasan itu yang menempatkan lebih 1,000 ekor anjing ditenggelami air sedalam 1.5 meter.

Lebih malang, katanya, 54 ekor anjing kebanyakannya anak anjing mati akibat lemas, malah, pihaknya juga kerugian lebih RM30,000 apabila kesemua stok makanan anjing rosak.

“Anak anjing terlibat lemas kerana masih tidak pandai be­renang dan menyelamatkan diri. Anjing yang selamat kebanya­kannya berada di dalam kandang yang lebih tinggi manakala ada yang menyelamatkan diri dengan naik ke bumbung dan atap.

“Selain makanan anjing yang ditenggelami, pelbagai peralatan, pagar, bangsal dan kandang turut rosak akibat arus yang kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pusat perlindungan itu dibuka sejak 2017 dan menempatkan kira-kira 1,800 anjing-anjing liar dan terbiar.

Kebanyakan anjing tersebut ditangkap oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melalui kontraktor yang dilantik selain oleh NGO itu sendiri.

Sementara itu, jelas Surevin, pihaknya masih mengenal pasti bilangan anjing yang cedera di sekitar kawasan pusat perlin­dungan seluas 0.8 hektar itu.

“Memang ada yang cedera malah ada juga anjing yang tak mahu turun dari atas bumbung. Sebelum ini memang ada berlaku banjir kilat tapi kali ini paling besar. Saya berterima kasih kerana ada beberapa pihak yang membantu dengan menghantar barangan seperti makanan anjing namun jujur­nya masih tidak mencukupi,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya