500 peniaga mohon permit kawasan bebas berniaga - Utusan Malaysia

500 peniaga mohon permit kawasan bebas berniaga

SEBAHAGIAN peniaga yang hadir untuk mendapatkan borang Kawasan Bebas Berniaga bagi Daerah Kuala Muda di Majlis Perbandaran Sungai Petani, Sungai Petani, Kedah hari ini. - FOTO/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 500 peniaga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan borang permohonan bagi membuka gerai di kawasan bebas berniaga di daerah Kuala Muda yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) hari ini.

Borang tersebut yang diedarkan pada pukul 11 pagi kepada peniaga yang hadir di Dewan Kenangan, MPSPK telah habis dalam masa kurang sejam. 

Setiausaha MPSPK, Sunita Abdul Aziz berkata, peniaga yang berjaya dalam permohonan tersebut akan diberikan permit perniagaan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 15 Mei tahun hadapan.

Katanya, sebanyak tujuh lokasi ditetapkan dalam kawasan bebas berniaga tersebut iaitu di tapak bersebelahan Pasaraya Aneka, hadapan Maybank serta hadapan Stesen Teksi di Gurun.

“Empat lokasi lagi di Jalan Lama Sungai Tok Payang (berhadapan Kelab Golf Harvard), Jalan Lama Wisma Ria (Tapak Bazar Ramadan hadapan CIMB), Taman Ria Jaya (hadapan medan selera EUPE) dan Jalan Lama Padang Temusu (hadapan Isuzu/Pasar Raya TF Mart),” katanya di sini hari ini.

Menurut Sunita, peniaga hanya dibenarkan menjual makanan dan minuman serta barangan kering seperti kasut dan pakaian.

“Walau bagaimanapun mereka dilarang menjual makanan mentah, basah serta barangan yang menyalahi undang-undang serta perkhidmatan seperti urutan dan gunting rambut,” katanya.

Sementara itu, peniaga kasut terpakai dari Merbok dekat sini, Sakinah Kamaruddin, 32, berkata, dia gembira kerana kerajaan negeri prihatin dengan nasib peniaga kecil yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebelum ini saya menjalankan perniagaan di Lembah Bujang, Merbok yang mana kebanyakan pelanggan datang dari kawasan sekitar sahaja.

“Pembukaan kawasan bebas berniaga di lokasi Taman Ria Jaya membuka peluang kepada saya untuk mencari rezeki yang lebih di tempat baharu yang menjadi lokasi tumpuan perniagaan di bandar ini,” katanya.

Peniaga pakaian, Mohd. Shahrin Abu Bakar, 45, pula memilih lokasi di Jalan Lama Padang Temusu untuk meneruskan perniagaannya selepas Up Town di bandar ini ditutup ekoran PKPB.

“Jika permohonan saya berjaya, dapatlah saya meneruskan perniagaan ini yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan menyara keluarga selama ini,” katanya.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor pada 12 November lalu mengumumkan kerajaan negeri akan mewujudkan kawasan bebas berniaga kepada para peniaga dan penjaja statik yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana lokasi sesuai di lima daerah di negeri itu.

Beliau memberitahu, peniaga hanya dikenakan caj sebanyak RM10 sahaja sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN