SHAH ALAM: Sebanyak 4,320 kenderaan diarah berpatah balik selepas didapati tidak memiliki surat kebenaran rentas sempadan sepanjang lapan hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 12 November lalu sehingga semalam, kesalahan paling banyak dikesan ketika musim perayaan Hari Deepavali.
Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, pihaknya melaksanakan sebanyak 71 sekatan jalan raya di semua susur keluar dan masuk lebuh raya di negeri ini.
“Sepanjang tempoh lapan hari, kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebanyak 594,769 kenderaan.
“Sebanyak 4,320 kenderaan bagaimanapun diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas sempadan atau negeri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut menerima sebanyak 66,776 borang permohonan pergerakan sepanjang tempoh berkenaan.
“Namun, sebanyak 2,249 permohonan itu terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan.
“Pelbagai alasan tidak masuk akal masih diberikan pemohon antaranya ziarah dan menghadiri kenduri,” katanya.
Jelas Muhammad Yazid, pihaknya turut menubuhkan sebanyak 483 pasukan khas untuk menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Selain itu, seramai 2,433 anggota polis, pasukan itu antaranya melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Pasukan ini telah menjalankan 40,295 pemeriksaan melibatkan rumah ibadat, pejabat kerajaan, pasar awam, tapak pembinaan dan kenderaan persendirian,” katanya.
Tambahnya lagi, polis turut melaksanakan 12 sekatan jalan raya bergerak di semua lokasi tumpuan umum pada setiap hari.
Mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau berkata, tiga lokasi iaitu di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Plaza Hentian Kajang dan asrama pekerja syarikat Top Glove, Klang dilaksanakan membabitkan lebih 12,000 penduduk. – UTUSAN