40 individu dikesan edar dadah kepada pelajar - Utusan Malaysia

40 individu dikesan edar dadah kepada pelajar

Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menyaksikan serah terima tugas SAC Razimi Ahmad (kiri) Ketua Penolong Pengarah Risik/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kepada SAC Alzafny Ahmad (kanan) Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor di dalam Majlis Serah Terima Tugas Auditorium Aras 2 , Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru di sini hari ini. -UTUSAN/ Baazlan Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Seramai 40 individu dikesan polis negeri ini kerana dipercayai terlibat sebagai tokan dadah dengan membekalkan dadah kepada para pelajar sekolah seluruh negeri ini. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka dikesan menerusi hasil siasatan terhadap 124 daripada 177 pelajar positif dadah semasa saringan air kencing dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.

Beliau berkata, hasil temu bual tersebut, polis telah berjaya menahan seramai 21 suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun disyaki tokan dadah dalam operasi khas di seluruh negeri bermula 29 September hingga 8 Oktober lalu. 

“Modus operandi pembekal dadah ini adalah secara kecil-kecilan dengan merekrut pelajar sekolah dalam bilangan yang kecil. Pada peringkat awal, mereka akan memberi dadah secara percuma kepada mereka. 

“Apabila tokan ini dapat mencari pelajar baru untuk mencuba dadah, pelajar tersebut akan diberi imbuhan sama ada dalam bentuk dadah ataupun wang. Tokan ini juga akan bertindak bagi merekrut pelajar.

“Dadah yang popular digunakan dalam kalangan pelajar sekolah adalah jenis ganja kerana ia lebih murah sekitar RM40 sepeket berbanding dadah lain. Lagipun ganja ini senang dibawa dan mudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor (JPJKK) antara Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad dengan Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad di Ibu Pejabat Polis Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, 124 pelajar yang positif dadah yang ditemubual itu turut mendedahkan sebab penglibatan mereka dengan masalah penyalahgunaan dadah sejak usia muda.

Tambahnya, antaranya alasan yang diberikan kumpulan pelajar itu adalah pengaruh rakan, masalah atau sejarah keluarga yang pernah terlibat dengan dadah serta sikap kurang peka terhadap kesan dadah.

Menurut Ayob Khan lagi, polis Kulai menahan lima lelaki berumur 17 hingga 19 tahun dalam keadaan mencurigakan di sekitar Taman Permainan Bandar Putra Kulai, pada 12.43 pagi, semalam. 

Katanya, pemeriksaan ke atas lima individu termasuk tiga pelajar sekolah itu berjaya menjumpai dadah jenis ganja seberat 3.29 gram bernilai RM164.

“Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Tetrahudrocannabinol (THC). Semakan rekod ke atas semua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil soal siasat terhadap tiga pelajar ini, kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pembekal dadah kepada pelajar terbabit”, katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN