LUMUT: Tindakan bot nelayan asing menceroboh perairan negara semakin menjadi-jadi dan terbaharu kelmarin apabila 40 bot nelayan Indonesia didapati menangkap ikan berhampiran Pulau Jarak dekat sini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak bertindak pantas mengusir semua bot nelayan tersebut yang menceroboh perairan negara di beberapa kedudukan sekitar Pulau Jarak.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua bot tersebut dikesan ketika Kapal Maritim (KM) Rawa melaksanakan Op Benteng di perairan Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot sedang menangkap ikan.
“KM Rawa memberi amaran keras kepada bot-bot tersebut dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE