PUTRAJAYA: Empat fokus utama diberi tumpuan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam Bajet 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Bajet terbabit dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan.
Beliau berkata, empat fokus utama seperti mana digariskan Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.
“Skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G) akan diperkenalkan semula dan apabila diluluskan, ia akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar.
“Ini membolehkan pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan
pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif.
“Selain itu, Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) turut dirancang bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan yang dilihat sebagai penambahbaikan kepada PPLH yang dilaksanakan sejak 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata, melalui pemberian dana pusingan program terbabit, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin.
“Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, pihaknya mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara yang menunjukkan kprihatian kementerian dengan cabaran yang diharungi pekebun kecil getah.
Katanya, inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump.
“KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan.
“Kita juga mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE