3,550 pekerja Top Glove akan disaring  - Utusan Malaysia

3,550 pekerja Top Glove akan disaring 

KELIHATAN anggota tentera sedang memasang kawad duri di Asrama Top Glove pada hari ini. Asrama pekerja syarikat Top Glove di Meru, Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 30 November ini. -UTUSAN/ Zulfadhli Zaki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG:  Seramai 3, 550 pekerja Top Glove bakal menjalani saringan Covid-19 selaras penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, saringan dijadualkan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang esok selepas proses bancian dijalankan hari ini.

“PKPD ini dibahagikan kepada dua sektor iaitu A melibatkan 39,000 meter persegi (m2) dan sektor B seluas 41,000 m2.

“Jumlah keseluruhan kawasan 80,000 m2 atau 6.3 hektar. Kebanyakan pekerja tersebut terdiri daripada pekerja Nepal dan Bangladesh.

“Turut terlibat dalam saringan itu dianggarkan 1,200 penduduk yang tinggal di kedua-dua sektor tersebut, namun, jumlah sebenar masih dalam bancian,” katanya ketika ditemui pemberita di PKPD berkenaan hari ini.

Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, pelaksanaan PKPD di kedua-dua sektor terbabit melibatkan tiga syif dengan kekuatan seramai 200 orang kakitangan. 

“Ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Klang, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Ditanya sama ada kilang Top Glove akan ditutup, Nurulhuda menegaskan operasi kilang akan berjalan seperti biasa.

“PKPD ini hanya melibatkan pekerja yang tinggal di asrama dalam dua sektor tersebut sahaja,” katanya. 

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove, Klang bermula hari ini sehingga 30 November depan.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan terpaksa dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 215 kes positif Covid-19.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya