RANTAU PANJANG : Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan sebanyak 30 peratus individu yang menjadi ‘hamba’ dadah dikesan terlibat dengan jenayah harta benda iaitu mencuri.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, jenayah itu dilakukan disebabkan golongan tersebut kekurangan wang untuk membeli bahan terlarang demi melepaskan gian masing-masing.
“Saya tidak menolak kemungkinan pada mulanya penagih ini mempunyai sumber kewangan tertentu, sebagai contoh pemberian keluarga atau hasil daripada bekerja.
“Namun, secara tiba-tiba dia diberhentikan kerja atau keluarga sudah tidak sanggup menanggung bila dapat tahu ambil dadah, jadi sebab itu mereka terlibat dengan jenayah mencuri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Papan Tanda Kempen Pencegahan Dadah di Masjid Beijing, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat; Timbalannya Senior Asisten Komisoner Abdullah Mohamad Piah dan Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad.
Zulkifli memberitahu, langkah bersepadu dan kerjasama seluruh komuniti amat diperlukan bagi membanteras dadah secara habis-habisan.
“Penguatkuasaan, mencegah dan merawat pulih perlu bergerak secara bersama, barulah masalah dadah ini dapat kita selesaikan secara konkrit,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE