BESUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan satu tangki menyimpan RON95 di sebuah stesen minyak di Kampung Anak Ikan di sini telah bercampur air akibat hujan lebat pada Rabu lalu.
Ketua Cawangan KPDNHEP Daerah, Azani Ismail berkata, berkata, kejadian itu mengakibatkan 23 kereta rosak selepas mengisi minyak di stesen tersebut pada hari sama.
Katanya, penemuan itu diperoleh hasil siasatan dijalankan tiga anggota penguat kuasanya susulan berita penjualan RON95 bercampur air tular di media sosial.
“Pengurus stesen minyak hanya menyedari insiden itu kira-kira pukul 8.30 pagi setelah menerima aduan daripada pengguna lalu segera bertindak menghentikan operasi premis bagi kerja-kerja mencuci tangki dan pengasingan air.
“Insiden itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM11,000 kerana tidak dapat beroperasi semasa proses mencuci tangki di samping membayar ganti rugi bernilai RM4,798 kepada kesemua pemilik kenderaan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Azani berkata, pihak stesen minyak meminta semua pelanggan yang mengisi RON95 dari pukul 7 pagi hingga 8.30 pagi pada hari kejadian membuat tuntutan jika masih belum berbuat demikian.
Katanya, pihak pengurusan turut memohon maaf kepada pengguna sekali gus akan memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Dalam perkembangan sama, kita mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE