21 produk makanan dikesan ada racun berjadual  - Utusan Malaysia

21 produk makanan dikesan ada racun berjadual 

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 21 produk makanan membabitkan 16 jenama yang telah dianalisis didapati mengandungi racun berjadual serta dilarang penambahannya dalam makanan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ia meliputi 849 produk melalui hasil pemantauan sepanjang tahun lepas hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau segala produk makanan yang dijual di pasaran tempatan.

Ini ujar Noor Hisham lagi, termasuk produk yang disyaki sengaja diaduk dengan bahan kimia daripada racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone.

“Tindakan undang-undang telah diambil ke atas pengeluar atau pengedar melibatkan empat daripada 16 jenama produk itu kerana tidak mematuhi undang-undang ditetapkan,” tegasnya melalui kenyataan hari ini.

Pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 kerana menjual apa yang ada dalamnya bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan para pengguna.

Noor Hisham menambah, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau pun kedua-duanya.

“Bagaimanapun, hasil siasatan dijalankan pihak BKKM ke atas 12 jenama produk makanan yang lain mendapati nama dan alamat syarikat adalah palsu atau tidak lengkap,” jelas beliau.

Justeru katanya, KKM memberi amaran dan melarang penjualan semua produk itu, manakala peniaga termasuk penjual atas talian yang masih ada stok diarah menghentikan serta-merta.

“Orang ramai yang sedang menggunakan produk makanan ini adalah disarankan supaya segera mendapatkan nasihat dan rawatan dari ahli profesional kesihatan,” kata Dr. Noor Hisham.

Masyarakat juga ujarnya, diingatkan supaya sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam pembelian produk tertentu yang mungkin ada diaduk dengan bahan terlarang.

KKM turut menegaskan semua makanan yang dijual perlu mematuhi peraturan serta menjadi tanggungjawab pihak pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjualnya.

“Malah pihak KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh ancam kesihatan pengguna dan jika ada kemusykilan, sila berhubung dengan kami,” terang Dr. Noor Hisham.

 Pengguna turut boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau pun media sosial Facebook BKKM. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya