KLANG: Keceriaan 200 buah keluarga golongan berpendatan rendah (B40) jelas terpancar apabila menerima baucar pembelian RM100 bagi membeli keperluan menjelang perayaan Deepavali, Jumaat hadapan.
Mereka dibawa menyertai program Jom Shopping Deepavali 2020 anjuran Pertubuhan Kebajikan Komuniti Masyarakat Kapar (PKKMK) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Pasar Raya Econsave hari ini.
Seorang suri rumah, K. Manonmani, 45, berkata, sumbangan secara langsung membantu dia sekeluarga yang terhimpit akibat pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ini berikutan kelima-lima anak saya berusia 18 hingga 25 tahun yang menjadi penyumbang utama pendapatan keluarga telah terkesan dengan pemotongan gaji mereka.
“Sumbangan ini secara langsung membantu meringankan beban kami dalam persiapan sambutan Deepavali,” katanya ketika ditemui di program tersebut.
Yang turut hadir pada program tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementara, Dr. Daroyah Alwi.
Bagi S. Sharendran, 33, bantuan itu sangat bermakna dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan pendapatan terjejas juga akibat pemotongan gaji oleh pihak majikan.
“Memang bersyukur sangat terpilih dan baucar diperolehi digunakan sebaiknya membeli keperluan harian dan barang lain,”ujarnya.
Sementara itu, Daroyah berkata, program Jom Shopping itu dijalankan bagi membantu masyarakat India di Kapar khususnya yang berpendapatan bawah RM2,000.
“Inisiatif tersebut diharapkan dapat mengurangkan beban golongan tidak berkemampuan dan masih boleh bergembira pada perayaan Deepavali nanti,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE