MELAKA: Bilangan mangsa banjir di negeri ini terus berkurangan apabila 20 lagi penduduk di Jasin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing menjadikan keseluruhan mangsa kini 157 berbanding 177 orang, semalam.
Setakat pukul 10 pagi ini, terdapat 38 keluarga masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk sebuah di Daerah Alor Gajah yang menempatkan enam sekeluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.
Manakala, di Jasin penduduk yang berada di PPS SK Tehel adalah seramai 91 mangsa diikuti SK Parit Gantong yang menempatkan 60 mangsa.
Secara keseluruhan, 520 penduduk di ketiga-tiga daerah dalam negeri ini dipindahkan ke sepuluh PPS yang dibuka secara berperingkat apabila lebih 11 lokasi dinaiki air akibat banjir sejak seminggu lalu.
Bencana itu menjadi teruk apabila bertembung dengan fenomena air pasang besar sehingga mengakibatkan beberapa kawasan yang tidak pernah dinaiki air turut dilanda banjir kali ini. -UTUSAN ONLINE