2 dituduh kes jenayah alam sekitar pertama di bawah SOSMA - Utusan Malaysia

2 dituduh kes jenayah alam sekitar pertama di bawah SOSMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua orang telah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang dalam tempoh kurang 14 hari ekoran insiden gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang awal bulan ini.  

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkembangan positif ini membuktikan kementerian tidak berkompromi dengan pelaku jenayah alam sekitar.

“Ia mencatat sejarah sebagai kes alam sekitar pertama dituduh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” kata beliau menerusi kenyataan.

Dua Orang Kena Tuduh (OKT) itu didakwa kerana mengakibatkan empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 di Rantau Panjang dihenti tugas pada 10 November lepas.

Pada tarikh sama pukul 10.45 malam, sepasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyerbu premis Nombor 32, Jalan Velox 2, Taman Perindustrian Velox, Rawang.

Pasukan itu bersama polis ujar Tuan Ibrahim menggunakan peruntukan Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kuasa pegawai JAS memasuki premis tanpa perlu waran.

“Kes didakwa di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan SOSMA selain Seksyen 34B (1)(a), Seksyen 34A (2), Seksyen 18(1) dan Seksyen 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya.

Juga mengikut Seksyen 61(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dan salah seorang OKT dituduh di bawah Undang-undang Kecil 3 Majlis Perbandaran Selayang 2007.

Hakim ujar Tuan Ibrahim, selepas menimbangkan hujahan kedua-dua pihak memutuskan tiada tawaran jaminan mahkamah dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 8 Januari 2021.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Indah Water Konsortium (IWK) atas komitmen dan kerjasama diberi,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak polis, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pengurusan Air Selangor (AiS).

Tuan Ibrahim juga menyeru orang awam segera melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar terus menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari.

Maklumat berkenaan ujar beliau, turut boleh disalurkan melalui e-mel aduan_k@doe,gov.my atau kepada portal e-aduan JAS iaitu https://eaduan.doe.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN