2.6 juta batang rokok John Blend dirampas - Utusan Malaysia

2.6 juta batang rokok John Blend dirampas

SITI Zaleha Mohd. Said (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas dalam sidang akhbar di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lebuh Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menemukan sebanyak 2.6 juta batang rokok dalam sebuah lori yang menggunakan laluan sunyi di sebatang jalan di Kota, Rembau, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Anggaran rampasan pada pukul 4 pagi oleh sepasukan Cawangan Narkotik JKDM Melaka itu bernilai RM1.94 juta termasuk duti dan cukai.

Pengarahnya, Siti Zaleha Mohd. Said berkata, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang memandu lori tiga tan tersebut berjaya ditahan pihaknya untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 260 kotak rokok putih yang dianggarkan bernilai RM208,000 dengan nilai cukai kira-kira RM1.73 juta.

“Rokok itu disyaki dibawa masuk secara haram dari negara jiran, namun kita masih menyiasat ke mana destinasi dituju tetapi berdasarkan maklumat kita percaya rokok itu untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Zaleha memaklumkan, semakan pendaftaran lori tersebut mendapati ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang beralamat di Johor.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah seksyen itu.

Katanya lagi, hukuman yang boleh dikenakan jika sabit kesalahan adalah denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang kes atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang kes atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 kerana mengangkut, memindah atau menguruskan apa-apa barang berduti dengan niat memfrod kerajaan dengan disedarinya.

“Hukuman yang boleh dikenakan di bawah seksyen itu adalah sama dari segi nilai dan tempohnya seperti hukuman di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan rokok yang direkodkan sepanjang tahun ini adalah RM11.3 juta yang melibatkan 92 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya