KANGAR: Seramai 18 individu termasuk tiga warga Thailand direman empat hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes serangan berbalas tembakan sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar 600 meter dari Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, semalam.
Terdahulu, kesemua suspek yang berusia 19 hingga 37 tahun itu, dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap, pada pukul 8.50 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira sejam kemudian.
Tiga warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan manakala 15 lagi warga tempatan direman empat hari hingga Sabtu.
Dua warga Thailand tersebut merupakan penyeludup yang ditahan di lokasi kejadian semalam, manakala selebihnya ditahan kemudian berdasarkan maklumat hasil daripada soal siasat.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 palang 307 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah di Mahkamah Kangar.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, semua tangkapan tangkapan yang dibuat di negeri ini melibatkan anggota sindiket penyeludupan ketum di Perlis.
“Tangkapan awal dibuat pada pukul 7 pagi dan tangkapan kedua pula pada pukul 9.30 pagi,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian 2.30 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, gugur dalam pertempuran dengan 13 penyeludup ketum kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos TS9.
Sementara itu, rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, cedera kerana ditembak di perut dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini. -UTUSAN ONLINE