16,300 penduduk Tongkang Pecah dikenakan PKPB - Utusan Malaysia

16,300 penduduk Tongkang Pecah dikenakan PKPB

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 16,300 penduduk di Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 29 November sehingga 13 Disember.

Perkara tersebut diputuskan mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB di kawasan itu juga susulan 56 kes positif direkodkan setakat ini.

“Ini turut mengambil kira sebanyak 672 ujian saringan sudah dilakukan dan pada masa sama, masih terdapat 302 sampel yang diambil masih lagi belum dikeluarkan keputusan,” katanya.

Beliau seterusnya menambah, penguatkuasaan PKPB terbaharu itu hanya melibatkan sekitar kawasan Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga Lorong 10, Batu 7 dan Kampung Mohd. Nor.

Usaha itu ujarnya, bagi membolehkan saringan secara bersasar dan juga untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

“Prosedur operasi standard (SOP) di sini adalah sama seperti diumum sebelum ini termasuk operasi premis perniagaan dan penduduk boleh merujuk laman sesawang MKN,” katanya.

Ismail Sabri turut menyentuh rungutan para peniaga kecil di pasar harian di kawasan PKPB yang mengadu kekangan masa kerana cuma boleh dibuka dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Justeru, sidang khas MKN bersetuju melanjutkan selama dua jam lagi iaitu sehingga jam 4 petang dengan pengawasan daripada pihak Rela dan pematuhan SOP ketat yang ditetapkan.

“Pelanjutan masa ini berkuat kuasa mulai 28 November dan ia selari dengan tambahan waktu operasi premis makanan dan kedai runcit untuk dapat barangan dari pasar harian,” katanya.  

Menyentuh pelaksanaan ujian saringan pekerja warga asing, Ismail Sabri memaklumkan ia dibuat secara bersasar dan berperingkat mulai 1 Disember melibatkan beberapa buah negeri.

Ia ujarnya, meliputi Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Pulau Pinang serta Sabah dengan ujian dibuat menggunakan kaedah RTK Antigen.

“Majikan kena temujanji dengan fasiliti kesihatan swasta mengikut SOP ditetapkan kementerian dan juga bayar kos, namun caj kit ujian RM60 ditanggung Perkeso bagi ujian pertama,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri mengingatkan majikan agar patuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Pekerja 1990 ekoran ada beberapa kilang dikenakan tindakan kerana ingkar.

Beliau turut mengumumkan PKPB di Daerah Kuching, Sarawak yang bermula 9 November lalu ditamatkan mengikut tarikh dijadualkan iaitu 27 November susulan trend penurunan kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN