16 SOP AADK lawan Covid-19 - Utusan Malaysia

16 SOP AADK lawan Covid-19

AADK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengamalkan 16 prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 di pusat pemulihan dan latihan miliknya seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pematuhan SOP itu memperlihatkan kesungguhan agensi itu dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang kes positif Covid-19 dicatatkan di pusat pemulihan dan latihan, namun AADK tetap berwaspada dan sentiasa mengamalkan SOP yang ditetapkan.

“Antara SOP yang wajib dipatuhi seperti menjalani ujian saringan kesihatan, membuat swab test bagi mereka yang datang dari zon merah.

“Proses penghantaran makanan pula hanya dilakukan di luar pusat pemulihan bagi memastikan tiada interaksi rapat dengan orang luar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Zulkifli menghadiri Majlis Malam Apresiasi Semarak Kasih AADK 2020 dan menyampaikan Anugerah Tokoh Kepulihan 2020 kepada 11 bekas penagih dadah yang berjaya mengekalkan kepulihan lima tahun ke atas.

Selain itu beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh agensi media elektronik dan cetak di negeri ini.

Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad dan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Zulkifli dalam pada itu memberitahu, antara SOP lain yang dilaksanakan termasuklah mengadakan sesi kelas dan latihan di kawasan lapang serta luas selain menghadkan jumlah latihan serta penyampaian modul.

Beliau turut mengingatkan kakitangan AADK supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan tidak mengambil mudah perkara itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN