KEMAMAN: Seramai 16 pekebun pisang di Kampung Darat Teladas, Air Putih di sini terpaksa menanggung kerugian besar mencecah RM50,000 selepas lebih 1,000 batang pokok yang diusahakan mereka menerusi projek rancangan tanaman berkelompok musnah dilanda banjir.
Lebih menyedihkan apabila sebahagian pokok yang ditanam di kebun seluas 12 hektar itu sudah berbuah dan sedia untuk dituai.
Seorang pekebun, Yahya Taib, 78, berkata, banjir bukan sahaja memusnahkan lebih 100 batang tanamannya, malah, turut merosakkan pagar elektrik yang dipasang di kebun.
Katanya, antara pisang yang ditanam ialah berangan, nangka dan emas yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
“Sepatutnya buah boleh dipetik dalam tempoh seminggu lagi tetapi tiada rezeki kami.
“Pokok dan pagar sudah rosak, memang rungsing memikirkan yang kami terpaksa membuat semuanya semula,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, seorang pekebun, Zulkifli Mat Sabdi, 44, buntu dengan nasib malang yang terpaksa dilalui mereka yang sebelum ini sudah terkesan dengan serangan gajah.
“Bertimpa-timpa malang kami, baharu lega daripada serangan gajah liar kali ini diuji dengan bencana banjir.
“Saya berharap ada pihak yang prihatin terhadap masalah kami dan sudi membantu penduduk untuk mengusahakan kembali tanaman dan membaiki pagar,” katanya.
Bagi Mohd. Sibili Kassim, 66, walaupun sudah tiga tahun mengusahakan tanaman itu namun kebun mereka tidak pernah ditenggelami banjir sebelum ini.
Katanya, keadaan banjir yang luar biasa menyebabkan kebun mereka turut terjejas walaupun terletak di tempat yang tinggi.
“Saya sudah membuat aduan kepada Jabatan Pertanian mengenai masalah ini dan berharap mereka dapat membuat tinjauan di samping membantu pekebun sebab ini merupakan punca rezeki kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE