JOHOR BAHRU : Seramai 155 mangsa banjir dari dua daerah terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kejadian banjir kilat yang berlaku di negeri ini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kesemua mangsa melibatkan 40 buah keluarga di daerah Johor Bahru dan Pontian.
Katanya, dua PPS yang dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir, Johor Bahru dan Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, Pontian.
“SK Kampung Pasir dibuka pada pukul 7.30 malam bagi menempatkan 144 mangsa daripada 36 keluarga membabitkan penduduk Kampung Pasir, Kampung Seri Serdang, Kampung Pengkalan Rinting dan Kampung Seri Jaya.
“PPS di Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai pula dibuka pada 10 malam bagi menempatkan 11 mangsa banjir dari Kampung Ulu Pulai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, tiada pertambahan mangsa banjir dicatatkan dan kekal dengan jumlah 155 individu terjejas.
“Mangsa banjir dinasihatkan sentiasa minum air dan makan makanan yang telah dimasak. Buang makanan yang telah terendam dengan air banjir atau rosak.
“Elakkan makan makanan mentah seperti ulam-ulaman dan sayur-sayuran.
Jangan makan makanan yang dihidang lebih empat jam serta sentiasa menjaga kebersihan diri basuh tangan sebelum kanan dan selepas ke tandas.
“Pihak kerajaan sentiasa memantau keadaan banjir di negeri ini dan akan membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir ini,” katanya.
Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).- UTUSAN ONLINE