KUALA LUMPUR: Multiracial Reverted Muslims (MRM) hari ini meneruskan misi bantuan kepada 154 keluarga yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Pengasas dan Presiden MRM, Firdaus Wong Wai Hung berkata, daripada jumlah itu sebanyak 120 keluarga adalah penghuni di Sri Sentosa, Jalan Kelang Lama, di sini.
Selain itu, katanya, barang-barang keperluan asas diedarkan kepada 24 keluarga di Pangsapuri Court 1 Puchong Utama dan 10 keluarga di Pangsapuri Seri Utama Puchong Utama.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana sekali lagi MRM diberi peluang menyalurkan sumbangan keperluan asas kepada yang memerlukan. Sumbangan itu diedarkan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Jazakumullahu khairan sekali lagi atas sokongan dan sumbangan sahabat kepada MRM untuk ummah, demi Islam kerana Allah SWT. Semoga kita terus menjadi asbab kebaikan buat masyarakat.,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor di no 5648 1052 0353.