150,000 dijangka guna RTS setiap hari - Utusan Malaysia

150,000 dijangka guna RTS setiap hari

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani plak perasmian Majlis Pecah Tanah Secara Maya Projek RTS yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene. Gambar: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura dijangka digunakan kira-kira 150,000 penumpang pada setiap hari selepas bakal disiapkan pada 31 Disember 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, projek sejauh empat kilometer (KM) itu bukan sahaja menjimatkan masa apabila tempoh perjalanan Johor Bahru ke Singapura hanya mengambil masa lima minit dan mampu mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor.

Katanya, projek menelan kos RM3.7 bilion itu merangkumi pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta hab pengangkutan dan hartanah campuran di atas tanah berkeluasan 1.49 hektar manakala depoh di Wadi Hana membabitkan keluasan 5.26 hektar.

“RTS bermula dari ICQ Bukit Chagar ke Stesen Woodlands North, di Singapura dan projek ini sudah dimulakan dengan pembersihan tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan. 

“Kos projek ini ditanggung Malaysia bakal menggunakan lapan set tren dengan setiap satu set tren berkenaan mengandungi empat gerabak dengan kapasiti setiap gerabak adalah seramai 250 pengguna pada satu-satu masa.

“Masa perjalanan adalah hanya lima minit dengan kekerapan tren adalah 3.6 minit ketika waktu puncak dan enam minit waktu bukan puncak. 

“Waktu operasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari dan kemungkinan waktu ini dikaji untuk diawalkan selepas mengambil kira beberapa perkara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Secara Maya Projek RTS di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene.

Baginda turut berkenan menandatangani plak perasmian, disusuli dengan simbolik pecah tanah oleh mesin cerucuk di tapak CIQ Bukit Chagar.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani. 

Sementara itu, Mohd. Zarif berkata, kontraktor Bumiputera dari Johor bakal diberi peluang dalam pembinaan projek RTS yang membabitkan agihan sebanyak RM800 juta ringgit. 

“Ia membabitkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan RM2 bilion bagi pembinaan RTS.

“Bukan sahaja menjimat masa, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan sektor pelancongan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya