SEREMBAN: Sebanyak 13 buah keluarga telah menginap di Villa Sora House, The Dusun Resort, Pantai dekat sini dalam tempoh antara 5 Julai hingga 2 Ogos 2019 sebelum keluarga Nora Anne Quoirin tiba pada 3 Ogos 2019.
Perkara itu dimaklumkan oleh saksi ke-39, prosiding inkues kematian Nora Anne, Nur Asmaq Loqman, 30.
Dalam prosiding yang memasuki hari ke-18, dia yang merupakan Pengurus The Dusun Resort berkata, dalam tempoh itu juga selak tingkap di penginapan itu masih belum di baiki.
Menurut Nor Asmaq, dia telah lama maklum tentang kerosakan pada selak itu dan ada meminta kakitangannya untuk membaiki kerosakan tersebut.
“Dalam bulan Julai saya sudah minta Adam (pekerja resort) mencarikan selak itu dan Adam dah cuba cari tapi tak jumpa yang sama.
“Saya cakap tak apa sebab Sora (Villa Sora House) akan ada pengubahsuaian pada bulan Oktober, jadi kita biarkan sahaja dahulu,” katanya pada prosiding yang berjalan secara penstriman dalam talian itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya Koroner, Maimoonah Aid berkenaan reaksi Nora Anne dan adik-adiknya semasa sesi penerangan mengenai rumah penginapan itu, Nor Asmaq berkata, dia hanya menyedari reaksi oleh adik Nora Anne, Maurice Arthure kerana dilihat sangat aktif dan banyak cakap.
“Nora Anne senyap dan semasa saya beri penjelasan tentang boleh buka tingkap jika panas, dia sedang duduk di tangga spiral,” tambahnya.
Turut memberi keterangan dalam prosiding hari ini ialah saksi ke-38, bekas Pengurus The Dusun Resort, Halen Todd dan saksi-37, Michael Reeves yang merupakan Ketua Guru Garratt Park School, London.
Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.
Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.
Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama. -UTUSAN ONLINE