SHAH ALAM: Sebanyak 1,279 kawasan terjejas ekoran henti tugas di empat loji rawatan air (LRA) berikutan berlaku pencemaran sumber air mentah telah mendapat bekalan sepenuhnya.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataanya berkata, semua wilayah terjejas iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mendapat bekalan air sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi.
Terdahulu, sehingga pukul 7 pagi ini, hanya wilayah Klang/Shah Alam dan Hulu Selangor masih belum menerima bekalan air sepenuhnya iaitu masing-masing berada pada tahap 92 dan 91 peratus manakala 1,263 kawasan melibatkan wilayah Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mendapat bekalan air sepenuhnya.
Selasa lalu, gangguan bekalan air tidak berjadual menjejaskan kira-kira enam juta pengguna berikutan empat LRA iaitu Rantau Panjang, Fasa 1, 2 dan 3 ditutup kerana berlakunya pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Siasatan mendapati, pencemaran berlaku disebabkan pembuangan sisa industri daripada sebuah premis iaitu stor penyimpanan bahan tersebut di Jalan Velox 2, Rawang dekat sini.
Susulan pencemaran itu, empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya yang mana kesemua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan di premis tersebut, sebanyak 40,000 liter sisa industri ditemukan dan dipercayai kesemuanya tidak sempat dibuang ke lurang kumbahan yang menyambungkannya dengan loji rawatan kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang.
Pada masa sama, hasil pemeriksaan dilakukan di kawasan industri ringan di Jalan Velox 2, Rawang mendapati 17 daripada 62 premis beroperasi tanpa sah kerana lesen perniagaan tamat tempoh. – UTUSAN ONLINE