BAGAN SERAI: Seluas 125 hektar sawah yang baru ditanam di tujuh lokasi di sini ditenggelami banjir sejak empat hari lalu melibatkan 75 pesawah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, tujuh lokasi yang terlibat ialah Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit 1 Padang Lalang, Parit 2 Padang Lalang, Parit 3 Alor Setanggok, Parit 4 Alor Setanggok dan Sungai Kepar.
Menurutnya, padi yang ditenggelami air berumur 15 hingga 50 hari, berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak 15 November 2020 selain pelepasan air lebihan kolam Bukit Merah.
Beliau berkata, selain itu paras air sungai yang tinggi menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan.
“Antara tindakan yang diambil ialah pihak Jabatan Pertanian sedang melakukan bancian awal pada setiap lot yang terlibat bagi penyediaan permohonan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi.
“Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan pam-pam air bergerak untuk mengurangkan kesan banjir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Jabatan Pertanian serta agensi yang berkaitan akan terus memantau keadaan semasa di kawasan penanaman padi di sini berikutan ramalan hujan dijangka berterusan minggu ini.
Beliau berkata, jika terdapat kawasan tanaman padi lain terjejas akibat banjir, pesawah diminta membuat laporan segera kepada Jabatan Pertanian atau agensi yang berkaitan untuk tindakan susulan.
“Bancian awal serta terperinci telah dibuat dan sekiranya berlaku kemusnahan tanaman laporan dan permohonan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akan dibuat kepada pihak kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),” katanya. -UTUSAN ONLINE