KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu yakin penglibatan 12 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Waters and Rescue Team (SWART) di negeri ini memberi kelebihan dalam mengurangkan kejadian lemas di pantai terutama pada musim tengkujuh.
Pengarahnya, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, kepakaran menyelamat di air yang dimiliki pasukan khas terdiri daripada kalangan nelayan itu secara tidak langsung dapat membantu pihak bomba dalam bertindak lebih awal menyelamatkan mangsa lemas di lokasi berisiko.
Katanya, sebanyak enam pegawai PBB SWART ditempatkan di pantai sekitar Kuala Nerus manakala baki enam lagi Dungun bagi membuat rondaan dan pemantauan berterusan sepanjang musim tengkujuh yang bermula dari bulan ini hingga Mac 2021.
“Di samping itu mereka juga akan menasihati penduduk dan pengunjung agar tidak berada di kawasan berisiko berlaku kemalangan air.
“Kita merekodkan 16 kematian akibat lemas sepanjang musim tengkujuh dari November 2018 hingga Mac 2019 dan jumlah itu menurun kepada 12 orang dalam tempoh sama tahun berikutnya, jadi kita berharap penglibatan PBB SWART dapat membantu mengurangkan lagi kes mati lemas di Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kewujudan pasukan perintis PBB SWART di dua pantai masing-masing di Terengganu dan Kelantan dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin secara maya semalam.
Terdahulu, kumpulan pertama 23 anggota dilaporkan itu telah menjalani latihan intensif di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Md. Hilman menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti riadah di kawasan berisiko sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Musim monsun Timur Laut bukan waktu yang sesuai untuk sebarang aktiviti berkelah atau bersantai di kawasan air sama ada pantai, sungai atau air terjun.
“Saya minta pengunjung lupakan sementara keinginan bermain air atau berkelah sekali gus patuh kepada arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri masing-masing,” katanya.-UTUSAN ONLINE