118 hari tidak berjumpa dengan ahli keluarga demi tugas - Utusan Malaysia

118 hari tidak berjumpa dengan ahli keluarga demi tugas

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rozihan Razni Abdul Rahim ketika sedang menjalankan tugas di pusat kuarantin di sebuah hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di negeri ini terpaksa mengorbankan rasa rindu terhadap keluarga bagi menjaga mereka agar terhindar daripada risiko terdedah dengan wabak Covid-19.

Anggota berkenaan, Rozihan Razni Abdul Rahim, 30, yang bertugas di sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Tanjung Bungah di sini berkata, kali terakhir dia berjumpa ahli keluarganya yang tinggal di Teluk Bahang dekat sini adalah 118 hari yang lalu iaitu pada 26 Julai lalu.

Rozihan Razni menjelaskan, dia mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumahnya bagi memastikan ahli keluarganya serta penduduk setempat selamat dan tidak terdedah dengan risiko wabak Covid-19.

“Di rumah saya ada warga emas iaitu nenek yang berusia 78 tahun serta ibu berusia 56 tahun.

“Saya bertugas di barisan hadapan dan saya tidak tahu siapa yang saya jumpa setiap hari, jadi lebih baik saya tinggal di pusat kuarantin buat sementara waktu sehingga tugas memerangi wabak ini selesai,” katanya ketika ditemui di Tanjung Bungah di sini semalam.

Rozihan Razni yang masih bujang berkata, dia sentiasa berhubung dengan ahli keluarganya menerusi pangggilan telefon dan video setiap hari.

“Kita bernasib baik kerana kemudahan teknologi mendekatkan kita dengan ahli keluarga walaupun tidak dapat bersemuka.

“Saya akan menelefon dan bertanya khabar ahli keluarga serta rakan-rakan setiap hari selepas tamat bertugas,” katanya.

Tambahnya, sejak bertugas di pusat kuarantin di hotel itu, dia telah berjumpa dengan hampir 1,000 penduduk tempatan dan warga asing yang dikuarantin di pusat tersebut.

“Sebanyak 843 daripadanya telah dibenarkan keluar dan kesemuanya negatif daripada Covid-19.  

“Pada masa ini hanya ada 59 dari mereka yang tinggal di hotel dan masih dikuarantin,” katanya.

Selain itu, katanya, dia dan petugas barisan hadapan yang lain berharap rakyat negara ini mematuhi perintah pihak berkuasa agar pandemik Covid-19 ini dapat diperangi sepenuhnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya