PUTRAJAYA: Sebanyak 116 lagi individu ditangkap mengunjungi pusat hiburan. Jumlah itu antara 522 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 522 individu dikompaun manakala 55 pula direman.
Jelas beliau, antara kesalahan lain ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (215), tidak memakai pelitup muka (113), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71), rentas negeri atau daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (sembilan).
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 63,722 pemeriksaan melalui 2,737 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,387 anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, Operasi Benteng berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua penyeludup serta merampas empat kenderaan darat dengan 278 sekatan jalan raya dilaksanakan.
Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Mengenai Operasi Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kata beliau, sejak 30 Mac lalu sebanyak 11,995 operasi sanitasi merangkumi 137 zon dilaksanakan.
Katanya, sebanyak 14,155 premis disanitasi terdiri daripada 2,864 pusat perniagaan, 1,659 kawasan perumahan, 2,771 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,504 bangunan kerajaan.
“Sebanyak 38 operasi sanitasi dilakukan semalam meliputi 16 Zon Merah, enam Zon Jingga, tujuh Zon Kuning dan dua Zon Hijau melibatkan 12 negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sejak 24 Julai lalu, seramai 76,807 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 79 hotel dan 18 institusi lain.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 10,923 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan selain 65,479 lagi dibenarkan pulang.
“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga membuat 637 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (467), pemborong (139) dan pengilang (31).
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.-UTUSAN ONLINE