PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menghadiahkan sebuah buku kepada Duta Perancis di Malaysia, Frederic Laplanche.
Buku yang bertajuk al-Shama’il al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad) terjemahan Bahasa Inggeris itu turut diutus bersama sekeping surat khusus.
Menurut kenyataan menerusi akaun sosial Facebook rasmi milik beliau, Zulkifli memaklumkan bahawa ia bersempena dengan bulan Rabiul Awal yang juga bulan kelahiran Rasulullah SAW.
“Saya telah menulis surat khusus berhubung peristiwa terkait karikatur Nabi Muhammad SAW oleh (akhbar satira) Charlie Hebdo, kepada Tuan Yang Terutama Duta Perancis di Malaysia.
“Surat ini akan dihantar hari ini kepada Kedutaan Perancis (di Kuala Lumpur),” kata Zulkifli tanpa mengulas lanjut apakah kandungan surat tersebut yang dikirim beliau kepada duta negara itu.
Zulkifli sebaliknya dalam catatan di Facebook hanya memberitahu bahawa Perancis adalah antara negara Eropah pertama yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
“Ia dijalin selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957. Semoga peristiwa ini memberi pengertian besar dalam memaknakan lagi hubungan erat Malaysia dan Perancis,” katanya.
Ketika ini Perancis menjadi perhatian global susulan komen biadab Perdana Menteri, Emmanuel Macron yang menghina Islam sebagai agama pengganas ekoran kes guru yang dipenggal kepala.
Mangsa dibunuh pelampau Muslim dari Rusia kerana angkuh lakaran karikatur Nabi Muhammad SAW ketika dia mengajar subjek Sejarah kepada murid sekolah rendah dekat ibu kota Paris.
Susulan insiden itu, komuniti minoriti Islam mula didiskriminasi teruk dan sebagai tindak balas, semua negara Arab melancarkan boikot produk Perancis sehingga memberi kesan amat besar.
Dalam pada itu, Kedutaan Perancis setakat ini belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu surat dan hadiah buku yang diutus Zulkifli kepada Duta Perancis itu.
Beliau ditauliahkan sejak 2017, pernah berkhidmat sebagai Penasihat Menteri Luar Perancis dalam Hal Ehwal Asia dan pernah menjadi Ketua Jabatan Asia Tenggara, Kementerian Luar. -UTUSAN