Zulkifli hadiahkan buku 'Inilah Doaku' buat kakitangan HTJ - Utusan Malaysia

Zulkifli hadiahkan buku ‘Inilah Doaku’ buat kakitangan HTJ

ZULKIFLI menghadiahkan buku bertajuk 'Inilah Doaku' buat kakitangan HTJ sebagai sumbangan dan penghargaan kerana telah menguruskan dirinya sepanjang mendapat rawatan sebagai pesakit Covid-19 di hospital berkenaan.-Gambar Twitter Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menghadiahkan buku bertajuk ‘Inilah Doaku’ kepada kakitangan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat sini.

Tindakan itu sebagai penghargaan dan sumbangan kepada kakitangan hospital berkenaan yang telah menguruskan dirinya semasa mendapat rawatan sebagai pesakit Covid-19 di hospital berkenaan.

“Saya tidak ada apa-apa hendak berikan sebagai buah tangan buat warga Hospital Tuanku Ja’afar yang menguruskan saya sepanjang menerima rawatan di sini. Yakinlah Allah SWT menilai setiap titisan peluh dan air mata anda yang tertumpah demi perjuangan ini.

“Saya doakan semua warga HTJ dimurahkan rezeki, dinaikkan pangkat, dikurniakan keluarga yang memahami, hati yang sabar dan jiwa yang kuat dalam perjuangan ini. Harap dengan sedikit sumbangan dari saya, beserta buku ‘Inilah Doaku” susunan saya, dapatlah ia menjadi kenangan berharga buat anda semua,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.

Dalam ciapannya sebelum itu, Zulkifli turut memaklumkan telah dibenarkan untuk keluar wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19 yang lalu.

Beliau mula mendapatkan rawatan di HTJ sejak 5 Oktober lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, beliau memberitahu, buku ‘Inilah Doaku’ tersebut merupakan antara buku teristimewa buat dirinya.

“Saya mula menyusunnya seawal PKP untuk berkongsi dengan umat Islam, doa-doa yang ma’thur dan sesuai dengan suasana pandemik ini.

“Maha suci Allah yang menggerakkan hati saya untuk menyusun doa ini, akhirnya turut saya amalkan sepanjang berada dalam rawatan Covid-19 di sini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya