PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah dibenarkan keluar wad kerana disahkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.
Menurut Zulkifli, bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan beliau untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Buat masa ini, beliau disarankan untuk tidak bertemu sesiapa dan sebarang pertemuan adalah melalui persidangan video sahaja.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Ahli-Ahli Jemaah Menteri, para ulama di seluruh dunia yang menghantar pesanan mesej kepada saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya.
“Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawabnya dari rumah dan sebarang pemakluman akan disampaikan melalui media sosial.
“Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan segera.
“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta. Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara. Sentiasa ingat pepatah lama, “Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”.
“Saya doakan semoga rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19 segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta,” katanya. -UTUSAN