'Yad nak kaki, nak pakai kasut' - Utusan Malaysia

‘Yad nak kaki, nak pakai kasut’

JASVIR Singh Ram Singh (kiri) meihat keadaan Muhamad Ziyad Amzar Mohamad Razif yang dipotong kedua belah kaki dan enam jari tangan di rumahnya di Mempaga 3 di Bentong, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: ‘Yad nak kaki, nak pakai kasut,” kata Muhamad Ziyad Amzar Mohamad Razif selepas melihat kasut yang diletakkan di hadapan rumahnya di Felda Mempaga 3 di sini baru-baru ini.

Kata-kata itu cukup menyentuh hati kedua ibu bapanya Mohamad Razif Razali, 38, dan Kaasnida Mohamed Nazar, 32, memandangkan anak bongsu berusia tiga tahun berkenaan kehilangan kedua-dua belah kaki yang terpaksa dipotong akibat gangren.

Kaasnida berkata, dia cukup tersentuh dengan kata-kata anaknya itu yang masih tidak mengerti apa-apa dan terpaksa melalui kehidupan berbeza dalam sekelip mata ketika usia masih muda.

 “Dia suka melihat rakaman video dia berjalan ketika berusia dua tahun sebelum dipotong kedua belah kaki dan jari, saya nampak dia begitu kuat menghadapi cabaran ini dan begitu aktif berjalan dan bermain walaupun dengan lutut,” katanya.

Menceritakan kejadian yang menimpa anaknya itu, Kaasnida berkata, ia bermula apabila Muhamad Ziyad Amzar demam dengan suhu mencecah 39.8 darjah celcius pada 2 Ogos tahun lalu dan terdapat bintik-bintik merah pada tangan serta kaki.

Katanya, dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Bentong sebelum dihantar ke Hospital Lipis dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Dalam tempoh dua minggu di Hoshas, kaki dan jarinya nampak semakin hitam dan seperti gangren hingga dia sering merintih kesakitan.

“Akibat keadaan yang bertambah teruk doktor membuat keputusan memotong jarinya pada Ogos tahun lalu sebelum memotong pula kedua belah kaki pada September tahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu, berdasarkan keadaan anaknya itu, doktor yang merawat menyatakan kemungkinan besar anaknya diserang meningococcal.

Dalam pada itu, katanya, dia yang bekerja di sebuah kilang di sini terpaksa bercuti tanpa gaji sejak tahun lalu bagi menjaga anaknya dan hanya bergantung pendapatan suami yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang melawat Muhamad Ziyad Amzar turut menyampaikan bantuan wang tunai dan sumbangan ikhlas daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi talian 018-9126702 atau manyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Kaasnida Mohamed Nazar,  7035288877. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya