PUTRAJAYA: Kementerian Luar kini sedang memantau perkembangan gempa bumi kuat di Laut Aegean dekat Turki dan Greece lewat malam semalam, dengan kekuatan 7.0 pada skala Richter.
Gegaran itu setakat ini mengorbankan 20 orang di Izmir, bandar ketiga terbesar di Turki, terletak 329 kilometer dari tenggara Istanbul dan 520 kilometer dari barat ibu kota Ankara.
Bagaimanapun menurut kenyataan rasmi Wisma Putra, berdasarkan laporan awal hingga kini semua rakyat Malaysia masih selamat dan tidak terlibat secara langsung dengan gempa itu.
“Pihak kerajaan Malaysia turut menzahirkan perasaan simpati dan takziah kepada kerajaan serta rakyat Turki dan Greece susulan bencana tersebut,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Wisma Putra menambah, warga Malaysia yang berada di Turki dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pihak kedutaan di Ankara atau konsul besarnya di Istanbul.
“Sementara rakyat Malaysia yang berada di Greece, boleh mendapatkan pertolongan sama dari Kedutaan Malaysia di Bucharest, Romania yang ditauliahkan untuk negara itu,” jelasnya.
Media Turki melaporkan, pusat gempa itu terletak 20 kilometer dari Izmir dengan kedalaman 10 kilometer dan melanda pukul 2.50 petang waktu tempatan (7.50 malam waktu Malaysia).
Pejabat pengurusan kecemasan dan bencana Presiden Turki memaklumkan, 786 orang disahkan cedera apabila lebih 10 buah bangunan tinggi runtuh musnah di wilayah Izmir.
Kementerian Kesihatan Turki turut melaporkan, sejumlah 40 buah ambulans, dua helikopter ambulans dan 35 pasukan penyelamat perubatan telah dikerah ke lokasi kejadian tersebut.
Gegaran kali ini adalah kedua paling kuat di Turki dalam tempoh sedekad selepas gempa 7.2 skala Richter melanda wilayah Van di timur negara itu pada 2011 yang ragut 604 nyawa. -UTUSAN ONLINE